280 Calon STPM Hulu Terengganu Dan Marang Terima Bantuan Pendidikan RM500

HULU TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM140,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 280 penerima bagi daerah Hulu Terengganu dan Marang.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti.

“Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya.

“Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Hulu Terengganu & Marang di Dewan Sivik Ajil, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil.

Seramai 122 pelajar Tingkatan Enam dari empat buah sekolah menengah di daerah HuluTerengganu dan 158 pelajar dari enam buah sekolah menengah di daerah Marang menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global.

“Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’.

“Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya.


Salah seorang penerima bantuan Noor Mazidah Aleeya Tiaramun, 20, dari Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana menerima sumbangan ini.

“Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu di atas sumbangan yang diberikan dapat membantu menampung kos pengajian nanti,”katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Rafiq Hafizin Muhamad Rafi, 21,dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling (SMKA) berkata bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan hanya ibunya yang bekerja setelah kehilangan bapa dua tahun lalu.


“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan ini sangat membantu kami dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya yang bercita cita menjadi seorang guru.


 


Tag: