Ahmad Razif bersama kakitangan Kemas |
Sebanyak RM9.6 juta diperuntukkan untuk menyelenggara dan membaik pulih 300 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) yang uzur di seluruh negara bagi tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Amiruddin Ariffin berkata, kerja-kerja membaik pulih kemudahan dan prasarana itu akan dilakukan secara berperingkat bermula bulan depan bagi memberi lebih keselesaan serta kelancaran dalam proses pembelajaran awal kanak-kanak.
"Tahun lepas kita berjaya menaik taraf 356 tabika dan tahun ini usaha tersebut bakal diteruskan melibatkan 300 buah lagi.
"Bangunan Kemas ada banyak kategori dan keutamaan diberikan kepada premis yang menumpang di balai raya atau dewan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Apresiasi Kemas Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini
Hadir sama, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Pengarah Kemas negeri, Dr. Faridah Mat.
Seramai 2,500 kakitangan Kemas negeri ini berhimpun dalam majlis tersebut bagi mendengar hala tuju bagi perkhidmatan sepanjang 2018 di samping sebagai tanda kesiapsiagaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.
Sementara itu, Amiruddin berkata, Kemas akan memperkasakan kempen membudayakan kebersihan dalam kalangan 220,000 muridnya di seluruh 11,206 tabika selari dengan pelancaran Buku Garis Panduan Amalan Kebersihan baru-baru ini.
Katanya, menerusi inisiatif itu kanak-kanak akan diberi penerangan secara terperinci tentang nilai-nilai murni yang digariskan termasuk etika kebersihan, aspek pemakaian, gaya hidup sihat, adab sebelum makan dan doa-doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Kemas sentiasa membuat penambahbaikan sejajar dengan hasrat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu kita melakukan transformasi dan antara yang telah dilaksanakan adalah dari segi modul pendidikan islam, pendidikan patriotik dan keyakinan diri yang diharap dapat memberi bimbingan berkesan kepada kanak-kanak," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Kemas sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai agensi yang membangunkan masyarakat luar bandar dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan tanpa mengira masa atau bersifat bermusim untuk PRU-14.
Berdasarkan rekod, kira-kira 8,000 kakitangan Kemas di seluruh negara telah diserapkan ke jawatan tetap daripada keseluruhan 18,000 yang ada pada masa ini.