Kira-kira 3,000 bungkus nasi lemak dan minuman percuma menanti pengunjung tempatan dan pelancong asing terawal ke Program Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, bermula 31 Disember hingga 2 Januari ini.
Agihan menu secara percuma selama tiga hari berturut- turut itu akan bermula pada jam 9.30 pagi sehingga habis makanan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata sebanyak 1,000 bungkus nasi lemak beserta minuman akan diagihkan kepada pengunjung pada setiap hari.
“Seramai tujuh pengusaha nasi lemak tempatan akan terlibat menyediakan menu istimewa sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak program di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, petang ini.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan program itu di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, Sabtu ini. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Wan Abdul Hakim berkata, inisiatif kerajaan melalui Sekretariat Beautiful Terengganu itu sebagai usaha menghargai pengunjung ke program yang turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik lain.
“Antaranya pertunjukan bot berhias, persembahanan jet ski light, pertunjukan bunga api, pertunjukan laser mapping and hologram water screen, permainan tradisional, gerai jualan dan aktiviti Motofest Terengganu
“Tidak ketinggalan persembahan kebudayaan, tarian tradisional dan persembahan oleh artis-artis Terengganu, termasuk Ameng Spring, Anis Suraya, Normad, Zalif Sidek, Saleem Iklim dan Kumpulan Dendang Anak,”katanya.
Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan yang mempunyai rangkaian kemudahan yang lebih efisien. sistem pengangkutan dan khazanah alam semulajadi, seni budaya dan warisan yang mampu menggamit kehadiran pengunjung.
.
.