Berita :
Pembangunan TOD Stesen ECRL Setiu Masuk Fasa Awal
Pembangunan TOD Stesen ECRL Setiu Masuk Fasa Awal
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 16 April – Pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) di Stesen ECRL Setiu kini masih berada pada fasa awal. 

Pegawai Daerah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, buat masa ini pihak agensi teknikal sedang dalam proses menyediakan skop kerja bagi tujuan penyediaan dokumen berkaitan. 

“Perkara ini akan diperhalusi dan dibincangkan dengan lebih terperinci bersama jabatan teknikal dalam Mesyuarat Penyelarasan TOD yang dijadualkan pada 19 April ini.

“Ia melibatkan Majlis Daerah Setiu, Pejabat Daerah Dan Tanah Setiu serta JKR Daerah Setiu,” ujarnya.

Yusaini Amir berkata, pihaknya akan terus memastikan perancangan ini dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan hala tuju pembangunan daerah Setiu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan Pejabat Daerah Dan Tanah Setiu sentiasa komited dalam memajukan sektor eko-pelancongan di daerah berkenaan melalui beberapa pendekatan strategik. 

“Antaranya ialah dengan mempergiatkan promosi produk dan destinasi pelancongan tempatan melalui penganjuran karnival, penyertaan dalam program peringkat negeri serta penggunaan media massa bagi memperluaskan capaian maklumat kepada umum.

“Selain itu, kami juga merancang untuk membangunkan platform promosi digital yang lebih agresif, termasuk memanfaatkan media sosial seperti TikTok bagi mengetengahkan keunikan dan tarikan eko-pelancongan di Setiu kepada khalayak yang lebih luas, khususnya golongan muda,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap lawatan kerja oleh agensi luar ke daerah ini akan dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkenalkan dan mempromosikan destinasi-destinasi menarik di Setiu.

“Ia sekali gus membuka ruang kepada potensi kerjasama dan pembangunan sektor pelancongan secara berterusan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan