3,000 Pemilik Motosikal Berkuasa Tinggi Bakal Gegarkan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 30 April - Terengganu Bike Week (TBW) yang diadakan bermula 28 hingga 30 Jun di Dataran Shahbandar bakal menghimpunkan 3,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan. Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berkenaaan yang dianjurkan East Coast Motorcycle Club (ECMC) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diyakini mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri.

Katanya, program  tersebut juga telah disenaraikan sebagai 'acara signature' dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) negeri Terengganu.

"Saya sangat berharap TBW ini akan membantu (kerajaan negeri) untuk mencapai sasaran menarik kehadiran 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara.

"Saya hendak sangat 'bikers' datang ke Terengganu, kerana negeri ini selama ini jika diperhatikan sering kali menjadi lokasi pilihan untuk penunggang motrosikal selama ini dari Johor Bahru, Kelantan, malah dari negara luar.

"Itulah uniknya Terengganu kerana memiliki keunikan menerusi jalan pantai, jalan tengah dan lebuhraya jadikan penganjuran kali ini kita gunakan sebaik mungkin bagi menjadikan Terengganu terus dikenali sebagai lokasi bikers dari seluruh negara, termasuk dari negara Thailand," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media TBW, di Hotel Paya Bunga, semalam.

Turut hadir, Presiden ECMC, Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata acara berkenaan akan turut diserikan dengan program sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun.

"Manakala program Tabligh Akhbar TIBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat mahgrib.

"Dari sudut hadiah cabutan bertuah pula TBW menyediakan hadiah yang cukup menarik untuk dibawa pulang oleh peserta berdaftar iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, sebuah motorsikal RXZ dan sebuah motosikal Yamaha NVX," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Seri Temenggong Raja berkata penganjuran TBW yang memasuki tahun ke 12 pada tahun ini ada kelainannya yang tersendiri yang menanti para peserta dan pengunjung.

"Setakat ini yang telah mengesahkan kehadiran bukan sahaja dari Malaysia, tetapi dari Singapura, Thailand dan Brunei kita akan juga akan mempromosikan acara ini kepada 'Indonesia Bikers'.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan TBW ini ramai orang yang akan datang, walaupun tidak ride tetapi tetap datang dengan mengunjungi booth jualan dan pameran daripada pihak penaja dan vendor.

"Berkaitan motorsikal berkuasa tinggi dan pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pelbagai lagi termasuk akan ada pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk IKS Tempatan," ujarnya.

Katanya, dari sudut Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya bercadang membawa anak-anak daripada golongan asnaf untuk datang ke tapak program bagi mengembirakan dan menyampaikan sumbangan.