Jalur Gemilang
Berita :
MUNIF 2.0 Himpun Pemimpin Islam, Perkukuh Solidariti Palestin-Iran
MUNIF 2.0 Himpun Pemimpin Islam, Perkukuh Solidariti Palestin-Iran
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) bakal menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, ahli Parlimen serta perwakilan diplomatik dari pelbagai negara dalam usaha memperkukuh solidariti ummah terhadap Palestin dan Iran.

Forum bertemakan “Uniting to Amplify the Power of the Ummah: Global Solidarity with Iran Towards the Liberation of Palestine” (Berpadu Memperhebat Kekuatan Ummah: Solidariti Sejagat Bersama Iran ke Arah Pembebasan Palestin) itu dijadualkan berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 3 September ini.

Pengerusi MUNIF 2.0, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum berkenaan turut menjadi medan memperkukuh tindakan bersama dalam menangani isu geopolitik dan kemanusiaan melibatkan umat Islam di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, persidangan itu akan dimuktamadkan menerusi pengumuman Deklarasi Kota Bharu 2026 yang bakal menjadi dokumen pendirian bersama terhadap krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

“Solidariti terhadap Iran dan Palestin bukanlah persoalan kelompok, kepartian atau aliran fahaman. Ia adalah persoalan kedaulatan sebuah negara umat Islam yang berdepan tekanan kuasa luar.

“Penindasan tidak pernah menyoal kelompok seseorang sebelum ia menimpa, tidak menyoal bendera dan tidak menyoal parti. Justeru, pembelaan kita juga tidak wajar bermula dengan persoalan-persoalan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu berkata, apabila kedaulatan mana-mana negara umat Islam dicabar, kepentingan geopolitik bersama turut menerima kesan termasuk Malaysia.

Katanya, perbezaan dalaman tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berdiam diri apabila kedaulatan, hak dan kepentingan umat Islam berdepan cabaran.

Beliau berkata, MUNIF 2.0 merupakan kesinambungan kepada MUNIF 1.0 yang diadakan di Kedah pada tahun lalu serta Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu pada April 2026.

“Fokus utama kali ini ialah menggerakkan sepenuhnya Jawatankuasa Tindakan Bersama yang ditubuhkan pada forum pertama supaya setiap resolusi yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan dan tidak terhenti sebagai dokumen semata-mata,” katanya.

Menurut beliau, lima sasaran praktikal menjadi fokus utama MUNIF 2.0, antaranya mengkonsolidasikan rangkaian strategik antarabangsa sebagai satu blok pemikiran dan tindakan serta meneruskan advokasi dan pembelaan terhadap rakyat Palestin dan Iran menerusi strategi sokongan yang konkrit.

Forum itu juga akan memberi penekanan kepada usaha menyuarakan solidariti terhadap kedaulatan dan hak negara umat Islam yang berdepan tekanan luar, memperkasakan pelaksanaan resolusi bersama serta membina naratif Islam yang bersatu.

“Hal ehwal antarabangsa bukanlah agenda sampingan kepada politik dalam negara. Kita tidak menanti isu Palestin menjadi popular sebelum bersuara dan kita tidak akan berundur apabila ia tidak lagi menjadi tumpuan,” ujarnya.

Muhammad Khalil berkata, penganjuran MUNIF 2.0 diharap menjadi langkah penting dalam memperkukuh kesatuan suara umat Islam, selain memperhebat usaha mempertahankan maruah, hak dan kebebasan rakyat Palestin, Iran serta umat Islam sejagat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan