Jalur Gemilang
Berita :
3,500 Peserta Meriahkan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-69 Terengganu
3,500 Peserta Meriahkan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-69 Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
69

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Hampir seramai 3,500 peserta memeriahkan Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Negeri Terengganu, hari ini.

Perarakan yang bermula pada 8 pagi dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu melibatkan 119 kontinjen dengan kekuatan keseluruhan dianggarkan 3,425 peserta.

Pelepasan kontinjen perarakan disempurnakan dengan laungan Merdeka oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

Kesemua kontinjen berarak sejauh tiga kilometer sebelum berakhir di Dataran Utama Shahbandar, melalui Jalan Pejabat, Persimpangan Wisma Darul Iman, Jalan Sultan Ismail, Bulatan Ladang dan Jalan Sultan Zainal Abidin.

Daripada keseluruhan penyertaan itu, 71 kontinjen menyertai kategori pertandingan, manakala 35 kontinjen lagi tidak bertanding selain 13 penyertaan melibatkan kenderaan jabatan dan pihak swasta.

Sebanyak 11 kategori disediakan pada tahun ini yang merangkumi tujuh kategori pertandingan dan empat kategori tidak bertanding.

Kategori pertandingan terdiri daripada Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Badan Berkanun Tidak Beruniform, Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Institusi Pengajian Tinggi dan Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform.

Selain itu, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Gunasama Negeri, GLC Tidak Beruniform serta Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri turut termasuk dalam kategori bertanding.

Sementara itu, antara kontijen yang yang tidak bertanding adalah Pasukan Pembawa Bendera, Pasukan Pertahanan Awam dan Penguatkuasaan serta Kenderaan Jabatan dan Swasta.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini membawa tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, selaras dengan semangat menyemarakkan patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan