34 PPS Diaktifkan Di Hulu Terengganu, Tempatkan 2,155 Mangsa
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - 35 pelayar dari pelbagai pelosok negara yang kini berlabuh di Terengganu sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' menjadi sandaran kerajaan negeri bagi memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang hebat di mata dunia.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, menjadi sejarah buat para pelayar dari Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan Hong Kong yang berpeluang melihat keindahan Terengganu.
Ujarnya, sebanyak 14 perahu layar berlabuh di Terengganu bermula 19 Mei hingga 2 Jun 2024.
"Kita mengharapkan kehadiran mereka ini mampu memberi pulangan ekonomi yang berimpak tinggi di samping mengharapkan mereka akan menjadi sebagai duta atau 'influencer' yang akan memperkenalkan Terengganu di persada antarabangsa.
"KIta (juga) mengharapkan mereka mampu memberitahu dan menceritakan kebaikan dan keindahan yang ada supaya mereka akan kenang dan ingat bahawa tempat yang menarik adalah Terengganu yang selalu disebut sebuah negeri yang cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sambutan Pelayar Antarabangsa sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally' di Jeti Marina Garden, Duyong Marina Pulau Duyong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut, Sulaiman berkata sepanjang berada di Kuala Terengganu pihak JPNT akan mengambil peluang sebaiknya untuk membawa para pelayar mengenali lebih dekat budaya, adat tradisi dan merasai sendiri keenakan masakan tradisional negeri ini.
"Saya dimaklumkan esok mereka akan ke Noor Arfa Batik kerana mereka dikatakan cukup berminat dengan batik Terengganu.
"Selain itu mereka akan ke tempat Pembuatan Bot di Pulau Rusa, Kampung Budaya Terengganu, muzium negeri, makan tengah hari di Kampung Cina, tempat pembuatan keropok di Losong dan perkampungan rumah-rumah lama," ujarnya.
Untuk rekod, pelayar termuda yang menyertai program ini ialah Sawyer Anderson berusia tiga tahun serta paling tua ialah Larry Green yang berusia 83 tahun, antara peserta yang menyertai pelayaran selama 15 hari di Terengganu.