BESUT, 19 Disember– Seramai 37 orang usahawan di DUN Hulu Besut menerima bantuan peralatan perniagaan menerusi Skim Dana Usahawan Terengganu (DUTE) di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung pada rabu.
Majlis tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban para usahawan kecil serta menyokong kelancaran operasi perniagaan mereka. Setiap DUN diperuntukkan sebanyak RM50,000 dengan nilai bantuan barangan sekitar RM1,500 bagi setiap penerima, merangkumi pelbagai keperluan perniagaan mengikut bidang masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima yang terpilih dan berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya demi meningkatkan pendapatan dan kelangsungan perniagaan".
Salah seorang penerima, Che Mohd Norizham Che Jusoh, 34 tahun, yang menerima bantuan berupa dapur pemanas dan peti ais, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
Menurut beliau, sumbangan tersebut amat bermakna kerana dapat meringankan beban kewangan serta memudahkan urusan perniagaan ayam goreng yang diusahakannya.
“Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini membantu melancarkan perniagaan harian saya dan mengurangkan kos peralatan,” katanya.
Dalam pada itu, penghargaan turut dizahirkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keprihatinan berterusan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan usahawan kecil.
Diharapkan bantuan ini dapat memberi manfaat jangka panjang serta menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kejayaan perniagaan para penerima pada masa hadapan.