KEMAMAN, 9 Julai- Seramai 400 rakyat Terengganu dari kalangan penerima e-Kasih menerima sumbangan hasil projek penternakan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Negeri Terengganu, semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr Azman Ibrahim, seramai 50 penerima dari setiap daerah itu akan menerima agihan bantuan berjumlah RM250 seorang dalam majlis yang dijalankan secara serentak di semua daerah.

"Hasil bayaran sewa reban yang dikutip oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)Negeri Terengganu kita agihkan hari ini dengan jumlah keseluruhan RM100 ribu," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis berkenaan di Kampung Air Putih, semalam.
Tambahnya, selain reban ayam antara projek yang diusahakan ialah projek penternakan lembu pedaging yang diusahakan di Ladang Rakyat Terengganu.
Jelas Azman, usaha itu boleh dianggap sebagai khidmat Tanggungjawab sosial korporat(CSR) JPV Terengganu kepada masyarakat setempat.

"Kini, kita telah berjaya memberikan sumbangan selama enam tahun berturut-turut," katanya.