KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Lima minit terakhir perlawanan menjadi detik penentu apabila Kuala Nerus melengkapkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Besut 2-1 sekali gus muncul juara Kejohanan Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2025/2026 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, petang tadi.
Besut terlebih dahulu menguasai perlawanan apabila Hairie Danial Razali meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit ketiga, sekali gus membawa bekalan jaringan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Kedudukan itu kekal hingga tamat lima minit masa tambahan, sekali gus menghadiahkan kejuaraan sulung buat Kuala Nerus.
Pengurus pasukan Kuala Nerus, Mohd Azuam Mansor berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil komitmen penuh pemain yang melaksanakan segala perancangan seperti yang diterapkan sepanjang sesi latihan.

"Alhamdulillah kita dapat," ucapnya bersyukur ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas perlawanan.
Mengulas mengenai jaringan awal Besut pada separuh masa pertama, beliau menegaskan ia bukan berpunca daripada kesilapan pemain, sebaliknya hanya melibatkan kesilapan teknikal yang tidak menjejaskan semangat pasukan.
"Itu bukan kesilapan pemain lah kita kata, bukan kerana player yang silap. Benda itu cuma sedikit kesilapan teknikal saja.
"Tapi kita tak mahu pemain kita hilang semangat. Kita suruh semangat balik, benda itu (perasaan hilang semangat) buang. Kekalkan bersemangat, kita teruskan sahaja main," katanya.

"Memang kita 'push' pemain kita. Kita kata nak gol, alhamdulillah dapat gol," katanya ketika mengulas kembali babak separuh masa kedua perlawanan yang penuh debaran itu tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, penyokong Kuala Nerus serta wakil rakyat yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan sehingga berjaya menjulang Piala YAB Menteri Besar buat julung kalinya.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada penaja-penaja dan kepada semua penyokong-penyokong BTR, penyokong Kuala Nerus dan semua YB-YB yang memberi sokongan padu kepada pasukan kami, alhamdulillah syukur alhamdulillah," ujarnya.