Oleh: Muhammad Syafiq Syakirin Mohamad Rauzi
MARANG, 14 Januari - Pembinaan 50 unit rumah mampu milik (RMM) menerusi Program Rumah Sejahtera di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong dijangka siap Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berpuas hati dengan perkembangan semasa projek perumahan tersebut dan berharap tiada lagi halangan yang melambatkan pembinaan rumah berkenaan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, projek yang dijadualkan mengambil masa setahun untuk disiapkan itu, melibatkan kos sebanyak RM2.94 juta telah dimulakan pada 5 Februari 2018, namun tertangguh selama empat bulan kerana masalah teknikal.
“Saya rasa bersyukur kerana di Bukit Payong ada Program Rumah Sejahtera bagi memberikan kemudahan memiliki kediaman sendiri kepada rakyat berpendapatan rendah.
Sekarang ini, projek sudah siap 34 peratus kerana sedikit masalah teknikal dan berjaya diteruskan sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan.
Turut sama dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak, ADUN Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Penghulu Mukim, Zafiri Mohd Zaki.