500 Pengguna Jalan Raya 'Serbu' Drawbridge Terengganu

Jambatan angkat tidak putus 'dikunjungi' pengguna jalan raya sejak jam tujuh pagi tadi.
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Dianggarkan sekitar 300 hingga 500 pengguna jalan raya di kawasan Kuala Terengganu mengambil peluang untuk melalui Jambatan Angkat Terengganu yang mula dibuka pada jam 7.00 pagi, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya memaklumkan, pembukaan itu bertujuan menguji sama ada jambatan tersebut dapat menampung atau memerlukan penambahbaikan dalam beberapa aspek.

“Kita sedia maklum jambatan ini merupakan mercu ikonik baharu buat negeri Terengganu di mana ia memiliki 'skybridge' setinggi 14 tingkat.

“Saya percaya, dengan adanya jambatan ini akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di jambatan berkenaan, pagi ini.

Dato' A. Rahman ingatkan pengguna supaya tidak berhenti di atas jambatan untuk keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Menurut beliau, tempoh percubaan ditetapkan sehingga 17 Jun sebelum ditutup semula untuk penilaian.

“Kita jangkakan akan buka sepenuhnya pada Julai bergantung kepada penilaian yang telah dilaksanakan,” katanya.

Dato’ A. Rahman juga mengingatkan orang ramai supaya tidak berhenti di atas jambatan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“ Kita mendapat kerjasama daripada pihak polis yang akan menempatkan satu balai bergerak dengan dua anggota sepanjang 17 hari ini untuk mengawal keadaan,” katanya.

Untuk makluman, pada 4,5,6 dan 7 Jun ini, pihak operator Jambatan Angkat akan menyalakan lampu 'festival' yang bakal menyajikan panorama indah buat pengunjung.

Mercu baharu Terengganu saji kelainan dengan panorama indah muara sungai Terengganu.



Tag: