5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kini bersiap siaga dengan kekuatan anggota seramai 5,000 orang  bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku Oktober ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata PDRM sentiasa memberi komitmen yang secukupnya demi keselamatan rakyat terutama di kawasan yang berisiko dinaiki air.

Menurutnya, bagi pihak PDRM, seramai dua ribu anggota diseluruh daerah bersedia dikerahkan pada bila-bila masa termasuk arahan ‘cuti dibekukan’ bagi pegawai terlibat.

“Mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Terengganu bakal menghadapi MTL bermula bulan November hingga Mac 2025.

“Mesyuarat penyelarasan sudah diadakan beberapa hari lepas, dan kita sebagai agensi penyelamat harus bersedia dari sudut logistik dan sumber manusia.

“Sejauh mana keseriusan banjir bakal terjadi, pihak keselamatan sentiasa bersedia dengan maklumat dan kenyataan dari MET tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan, supaya rakyat di negeri ini sentiasa peka dengan kenyataan yang bakal dikeluarkan dari MET, juga sentiasa bersedia dengan apa kemungkinan bakal berlaku, terutama di tempat berisiko banjir.

Katanya, mereka perlu peka dengan arahan semasa, dan pindah jika diperlukan bagi mengelakkan dari kejadian buruk berlaku terutama melibatkan nyawa dan sebagainya.

“Pastikan juga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana disitu disediakan segala kemudahan seperti tilam, selimut, makanan dan sebagainya.

“Pengurusan penyimpanan dokumen penting juga perlu dibuat, disarankan supaya disimpan dalam beg khas keselamatan, agar tidak rosak dan bebas dari air," katanya lagi.

Mohd Khairi juga berkata ibu bapa perlu cakna kepada anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi parit, sungai atau tempat berisiko, bagi mengurangkan kadar kehilangan nyawa walaupun ia berlaku setiap tahun.

“Tidak terkecuali juga kepada pengunjung ke tempat berisiko seperti tempat perkelahan, sungai, dan air terjun, kerana ia berisiko terjadinya fenomena ‘kepala air’, elakkan berkunjung ke tempat tersebut ketika di musim MTL," ujarnya.