5,000 Graduan Mahu Dilahirkan Dari Politeknik Setahun

Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan negeri melambai tangan kepada hadirin sempena Majlis Pecah Tanah Politeknik Besut di Bukit Keluang, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu politeknik melahirkan sehingga 5,000 graduan setahun dalam bidang berkaitan Latihan Kemahiran dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Menurutnya, ini berikutan statistik menunjukkan 85 peratus graduan politeknik di Malaysia dapat memiliki pekerjaan dalam tempoh enam bulan sebaik menamatkan pengajian.

"Seramai 500 graduan setahun dapat dilahirkan dalam bidang Industri Kreatif dan IT.

"Jumlah itu tidak cukup, saya mahu 5,000  bukan setakat 500 dilahirkan oleh pelajar-pelajar yang belajar di politeknik," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Politeknik Besut Terengganu (PBT) di Bukit Keluang, Besut, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Hadir sama,Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohamad Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri yang juga merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad.


Zahid berkata, sebanyak 50 peratus pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak dan memberi keutamaan memilih TVET di politeknik setiap tahun.

Katanya, sistem pendidikan negara memberi tumpuan kepada TVET berikutan mampu memberi pulangan terbaik terutama bagi pasaran kerja, berbanding graduan dari bidang-bidang lain.

Dalam pada itu, politeknik ke-34 di Malaysia dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar yang bernilai kira-kira RM180 juta itu sebagai memenuhi saranan kerajaan dalam RMK-11 yang menggalakkan lebih ramai penduduk Malaysia mendapat pendidikan berbentuk TVET.

PBT yang dijangka siap pada 11 Januari 2021 itu juga  selaras dengan wawasan negara (2020 dan TN50) serta memenuhi permintaan tenaga kerja mahir  dalam Revolusi Industri 4.0 (4IR).

Tag: