KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Terengganu mencatat satu lagi sejarah penting apabila hasil sebenar negeri berjaya melepasi paras RM450 juta sehingga 31 Disember 2025, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi pernah direkodkan.
Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan negeri menjana sumber pendapatan sendiri secara lebih mampan dan strategik.
“Ini satu kejayaan yang membanggakan. Sebelum ini, negeri banyak bergantung kepada royalti petroleum.
“Kini, kita memperkukuh asas hasil negeri supaya lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perubahan pendekatan ini penting bagi memastikan kedudukan kewangan negeri lebih kukuh serta tidak terlalu bergantung kepada satu sumber semata-mata.
Sepanjang beberapa dekad lalu, royalti petroleum menjadi antara penyumbang utama kewangan Terengganu.
Namun, kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada usaha memperluas sumber hasil dalaman melalui pengurusan aset, tanah dan aktiviti ekonomi baharu.
Mohd Azmi turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi libat urus di peringkat daerah bagi menggalakkan kepimpinan tempatan berfikir secara lebih kreatif dalam mengenal pasti potensi baharu untuk menjana ekonomi.
“Kita mahu setiap daerah melihat ruang yang ada, menggali potensi setempat dan bersama-sama meningkatkan hasil negeri pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.
Untuk rekod, hasil melebihi RM400 juta merupakan kali pertama yang pernah dicapai kerajaan negeri.
Hasil bagi tahun-tahun di bawah pemerintahan lama hanya di bawah paras RM300 juta.