Jalur Gemilang
Berita :
Festival Perahu Panjang Masih 'Laku'
Festival Perahu Panjang Masih 'Laku'
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kehadiran ramai pengunjung menyaksikan permainan tradisi turun temurun di pesisir Sungai Nerus membuktikan Festival Perahu Panjang masih mempunyai tempat dihati rakyat, khususnya penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, sambutan meriah itu menunjukkan acara warisan tersebut mempunyai peminat tersendiri dan wajar diteruskan.

"Saya teruja tengok hari ini dengan kehadiran masyarakat orang ramai yang menunjukkan bahawa acara ini sangat mendapat sambutan.

"Ramai peminat dia dan ini satu benda yang patut diteruskanlah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Festival Perahu Panjang Tradisional Raja Sungai Nerus 2026 di Tanjung Sabtu, semalam.

Menurutnya, kemeriahan festival turut dapat dilihat apabila sepanjang laluan sungai dipenuhi penduduk setempat dan orang luar yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan.

"Saya tengok sepanjang sungai ini penuh dengan orang kampung, dengan masyarakat orang luar, yang nak tengok macam mana perlawanan ini," ujarnya kepada pemberita.

Ulasnya lagi, pertandingan berkenaan bukan sekadar acara sukan dan hiburan, sebaliknya menjadi medium untuk mengekalkan warisan perahu panjang yang pernah digunakan sebagai pengangkutan masyarakat pada zaman dahulu.

"Perahu panjang ini adalah merupakan satu kenderaan zaman dahulu sebelum ada kereta, ada van, ada lori, dahulu itulah pengangkutan yang digunakan oleh penduduk untuk turun ke bandar," jelasnya.

Khazan berkata, penganjuran berterusan penting bagi memastikan warisan perahu tradisional tidak hilang ditelan perubahan zaman.

"Jadi perahu panjang ini masih ada hari ini sebab masih ada perlawanan perahu panjang ini.

"Jadi tahniahlah kepada penganjur pada penduduk Kampung ini di sekitar Sungai Nerus ini yang memelihara khazanah ini," katanya.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan