KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Selepas melalui beberapa proses, Majlis Penyerahan Kunci Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) akhirnya dijadual berlangsung pada 17 Mac ini di Benting Lintang, Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, majlis itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pada penghujung Ramadan.
Menurutnya, penyerahan kunci berkenaan sebelum ini dirancang untuk dilaksanakan pada awal 2026, namun jadual tersebut telah dipercepatkan.
Seramai 50 penghuni PSN Besut dan 50 bakal penghuni PSN Kemaman yang telah melalui pelbagai tapisan pentadbiran akan menerima kunci rumah masing-masing pada majlis tersebut.
Dr. Azman menyifatkan penyerahan itu sebagai 'rezeki Ramadan' buat para nelayan terlibat.
“Di laut mereka baru sahaja mendapat lesen untuk mencari rezeki dengan tenang, di darat pula mereka pulang ke rumah baharu untuk hidup lebih selesa bersama keluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Program PSN itu bertujuan menyediakan penempatan lebih teratur kepada komuniti nelayan yang layak, selepas melalui proses pemilihan dan saringan pentadbiran yang ditetapkan.