KUALA TERENGGANU, 29 November - Sebanyak 56 ekor kematian penyu dilaporkan antara Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lima ekor berbanding tahun 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyu mati ditemui dalam beberapa keadaan, antaranya bangkai penyu ditemui terperangkap dalam pukat nelayan dan mati ditemui terdampar di pantai.
"Tiada bukti khusus kematian penyu akibat penggunaan pukat pari dan pukat palas, namun boleh disimpulkan, ia diakibatkan tangan-tangan manusia.
"Pada tahun 2022, sebanyak 37 pukat pari dirampas di beberapa Pengkalan Nelayan Daerah Kemanan dan Dungun sebagai langkah mengatasi perkara ini.
"18 nelayan terdiri dari dua nelayan tempatan dan 16 nelayan asing yang berpengkalan di Pahang telah ditangkap bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh kawasan santuari penyu dari Kuala Merchang Marang sehingga Tanjung Jara Dungun," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini.
Tambahnya, hasil usahasama kerajaan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat, pada tahun ini sebanyak enam ekor penyu ditemui di pantai berjaya diselamatkan.
"Selain itu, antara langkah yang diambil ialah penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu," katanya.