MARANG, 28 Julai- Sebanyak 564 unit rumah mampu milik (RMM) dan bercampur akan dibina di Kampung Alor Limbat, di sini menjadikannya projek perumahan terbesar dalam daerah Marang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang dimajukan secara usaha sama di antara KOPERAT sebagai pemaju dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) selaku pemilik tanah itu dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan 49 ekar.
"Ini adalah satu komitmen kerajaan negeri untuk kenyediakan RMM dan kediaman kepada rakyat.
"Ini juga salah satu cara mengerakkkan ekonomi di kawasan yang tak jauh dengan stesen ECRL selain pembangunan ECRL stesen itu sendiri dan kawasan sekitar betul-betul yang 'attach' dengan stesen itu sendiri.
"Kita berharap pembangunan projek ini akan menyumbang pembangunan sosioekonomi pendiduk setempat dan berharap penduduk kawasan ini dapat mengambil manfaat selain terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pecah Tanah Pembangunan RMM dan Bercampur di tapak projek, di sini semalam.
Jelasnya, projek berkenaan merangkumi pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A (119 unit) dan RMM Jenis B (175 unit).
Selain itu terdapat juga Rumah Teres Jenis C (147 unit), Rumah Berkembar 1 Tingkat (112 unit) dan juga Rumah Kedal Dua Tingkat (12 unit).
Tambahnya, perumahan tersebut akan dibangunkan di bersama kemudahan infrastruktur termasuk tangki air menara, loji rawatan kumbahan, pencawang TNB, taman permainan dan pembesaran jalan masuk.
Projek perumahan itu akan dimulakan pada September ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.