• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

768 Pemohon Terima Rumah Mampu Milik Terengganu Tahun Ini

Dr. Alias jangka sebahagian pemohon bakal terima kediaman hujung tahun ini.
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Seramai 768 pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibina Kerajaan Terengganu dijangka akan mula menerima rumah bermula penghujung tahun ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memaklumkan, sebahagian projek perumahan di beberapa kawasan telah hampir siap.

"Sekiranya segala proses berjalan lancar, sebahagian pemohon akan mula mendapat kediaman hujung tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Beliau yang hadir sebagai panel wawancara khas segmen 'Kabbo Royak' siri kelima turut memberitahu, sebanyak 976 unit RMM dibina bagi tahun 2019.

"Sebanyak 768 unit rumah dijangka siap tahun ini iaitu di kawasan Pulau Redang (160 unit), Seri Bandi (220 unit), Mak Kemas (50 unit), Taman Sri Gemilang, Kerteh (104 unit) dan projek pembaikan rumah terbengkalai Padang Setengge (234 unit).

"Manakala, sejumlah 976 unit lagi akan mula dibina bermula Mac menjadikan keseluruhan 1,744 unit RMM Terengganu dibina tahun ini," katanya.
Segmen Kabbo Royak salah satu medium sebaran maklumat kerajaan negeri.
Menurut Dr. Alias lagi, sebanyak 1,848 RMM di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah dipohon oleh kerajaan negeri.

"Jika diluluskan, ia akan meningkatkan jumlah kediaman yang dibina bagi negeri ini kepada 3,592 unit," katanya.

RMM merupakan skim perumahan untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang berpendapatan purata bulan di bawah RM3,860.

RMM djual pada harga RM68,000 iaitu kadar harga di bawah pasaran bagi membantu golongan tersebut.


Tag: