90 Peratus Pengundi Cina Kemaman Pilih BN



Hampir 90 peratus daripada 3,816 pengundi Cina di Parlimen Kemaman dijangka memihak  Kerajaan Barisan Nasional(BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14( PRU4) nanti.

Pengerusi Penganjur Program Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Masyarakat Cina Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang berkata, kerjasama dan sokongan daripada 27  ketua-ketua persatuan dan badan bukan kerajaan(NGO) yang ada,  pihaknya yakin pengundi Cina di Parlimen Kemaman akan kembali menyokong BN pada PRU tidak lama lagi.

"Kami tidak akan lupa budi baik kerajaan negeri dalam membantu masyarakat Cina walaupun peratusan pihak kami(masyarakat Cina)di Terengganu adalah amat sedikit.

"Kami juga yakin di bawah pentadbiran Barisan Nasional, Negeri Terengganu akan lebih cemerlang dengan muafakat dan kerjasama antara semua pihak lebih baik dalam segala urusan,"katanya.

Kok Hiang berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Masyarakat Cina Kemaman anjuran Kelab Kemaman Dan NGO Kemaman di Dewan Komuniti Tionghua di Chukai,Kemaman, malam tadi.



Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau, Ir Rosli Othman yang mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir,  Pegawai Penyelaras DUN Chukai, Dato’ Mohamad Awang Tera dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Zahari Mohd Azahar.

Hampir 3,000 masyarakat Cina pelbagai lapisan hadir bagi menyatakan sokongan mereka terhadap pimpinan Menteri Besar dan Kerajaan BN.

Sementara itu, Ir.Rosli dalam ucapannya, memaklumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih Dewan Komuniti Tionghua.

Beliau yang kelihatan cukup teruja dengan kehadiran ramai serta sambutan penuh gemilang berkata, dengan adanya sokongan yang begitu baik, ia satu petanda positif  yang akan membantu kemenangan BN serta memastikan kemakmuran yang berterusan di Kemaman khasnya di Chukai.



Bagi Pengerusi Persatuan Kelab Cina Kemaman, Dato’ Alex Teck Hwa pula berazam akan terus bekerja kuat dan membantu memenangkan  BN bagi DUN Chukai dan Parlimen Kemaman khasnya.

"Selama ini Kerajaan BN yang banyak membantu masyarakat cina di Kemaman...kita boleh menilai yang mana intan yang mana kaca, kita tahu yang mana menolong ketika susah dan datang ketika senang.

"Saat kami susah atau dilanda masalah, hanya BN yang banyak bantu berbanding pembangkang," katanya.

Tag: