Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Langkap Gesa Kerajaan Negeri Utamakan Penyelesaian Isu Bekalan Air Di Setiu
ADUN Langkap Gesa Kerajaan Negeri Utamakan Penyelesaian Isu Bekalan Air Di Setiu
Ariss Alias
7 jam yang lepas
162

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Terengganu digesa memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah bekalan air bersih yang masih membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan daerah Setiu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Azmi Maarof berkata antara masalah yang sering dibangkitkan penduduk ialah tekanan air rendah, paip lama yang kerap mengalami kebocoran serta gangguan bekalan air tidak berjadual. 

Beliau berkata masalah itu bukan sahaja menjejaskan urusan harian isi rumah, malah turut memberi kesan kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, sekolah dan premis awam. 

"Air merupakan keperluan asas kehidupan. Apabila bekalan air terganggu, bukan sahaja urusan rumah tangga terjejas, malah peniaga kecil, pengusaha makanan, sekolah dan premis-premis awam turut menerima kesannya," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memberi keutamaan kepada program penggantian paip lama, menaik taraf sistem agihan di kawasan bertekanan air rendah serta mempercepat kerja pembaikan kebocoran. 

Azmi turut mencadangkan supaya satu pelan tindakan penyelesaian masalah bekalan air disediakan mengikut kawasan kritikal, merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang. 

Beliau berharap usaha lebih menyeluruh dapat dilaksanakan bagi memastikan penduduk tidak terus berhadapan masalah bekalan air yang sama setiap tahun.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan