Jalur Gemilang
Berita :
Keluarga Perlu Jadi Benteng Utama Kebajikan Warga Emas
Keluarga Perlu Jadi Benteng Utama Kebajikan Warga Emas
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
149

KUALA TERENGGANU, 22 November – Kerajaan Negeri Terengganu belum bercadang menambah kapasiti penempatan khas bagi warga emas meskipun terdapat peningkatan kes golongan itu menjadi gelandangan atau diabaikan oleh anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, penempatan warga emas ketika ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi Persekutuan, khususnya Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain pusat jagaan kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Buat masa ini tiada cadangan untuk menambah kapasiti atau jumlah penempatan khas bagi warga emas.

“Walau bagaimanapun, perkara ini perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya agar warga emas yang menjadi gelandangan serta diabaikan anak-anak dapat hidup sejahtera dan kebajikan mereka terjaga,” jelasnya ketika menjawab soalan lisan ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh pada persidangan DUN, 19 November lalu.

Menurutnya, penyediaan pusat penempatan khas juga bukan satu-satunya penyelesaian bagi menangani isu kebajikan warga emas dalam jangka panjang.

Sebaliknya, katanya, institusi keluarga perlu diperkasakan supaya tanggungjawab moral anak-anak terhadap ibu bapa terus terpelihara.

“Keutamaan perlu diberikan kepada usaha memperkasakan institusi keluarga melalui kempen kesedaran, program keagamaan serta bantuan sokongan kepada waris yang berdepan kekangan kewangan,” ujarnya.

Maliaman berkata, pendekatan berasaskan keluarga penting bagi memastikan warga emas bukan sahaja mendapat tempat tinggal, malah terus mendapat perhatian, kasih sayang dan sokongan daripada ahli keluarga.

Beliau menambah, isu warga emas yang terpinggir perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek kebajikan, sokongan keluarga dan kemampuan waris supaya golongan itu dapat menjalani kehidupan lebih sejahtera.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan