lightning-solid
Berita :
ADUN Langkap Rai 33 Pelajar Cemerlang STPM 2025
ADUN Langkap Rai 33 Pelajar Cemerlang STPM 2025
Ariss Alias
7 jam yang lepas
95

SETIU, 21 Julai - Seramai 33 pelajar diraikan dalam Majlis Kecemerlangan STPM 2025 DUN Langkap sebagai tanda penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap, Sungai Tong itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap,  Azmi Maarof. 

Program berkenaan diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan para pelajar serta menyuntik semangat untuk mereka terus melakar kejayaan dalam pengajian di peringkat lebih tinggi.

Pada majlis itu, empat orang menerima Anugerah Pelajar Paling Cemerlang berserta plak penghargaan selepas berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00. 

Mereka yang diraikan ialah Nur Hanis Izatulnajwa Rosli dan Nur Balqis Batrisya Kamaruddin dari SMK Sungai Tong, serta Nur Batrisyia Kamaruzzaman dan Nur Hidaya Ab Aziz dari SMK Chalok.

Daripada keseluruhan 33 penerima penghargaan, seramai 21 orang merupakan pelajar dari SMK Sungai Tong, sekali gus mencerminkan prestasi memberangsangkan sekolah berkenaan dalam peperiksaan STPM tahun ini.

Dalam ucapannya, Azmi mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus mencipta kecemerlangan di menara gading.

 Beliau turut berpesan agar para pelajar sentiasa menjaga solat, istiqamah membaca al-Quran serta mengekalkan akhlak yang mulia sepanjang menuntut ilmu. 

Beliau berkata kecemerlangan akademik hendaklah disertai dengan pembentukan sahsiah yang baik agar para pelajar mampu menjadi insan berilmu, berintegriti dan memberi manfaat kepada agama, masyarakat serta negara.


Tag :

Artikel Berkaitan