Jalur Gemilang
Berita :
FPP UniSZA, INCEIF Perkukuh Kerjasama Akademik Bidang Kewangan Sosial Islam
FPP UniSZA, INCEIF Perkukuh Kerjasama Akademik Bidang Kewangan Sosial Islam
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
176

KUALA NERUS, 26 November  – Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran Waqf & Social Finance Mobility Programme 2026 bersama INCEIF University.

Program selama empat hari bermula 22 hingga 25 November itu menghimpunkan 20 pelajar pascasiswazah INCEIF University bersama dua pegawai pengiring, diketuai Dekan INCEIF, Prof Dr Mansor Ibrahim.

Program turut melibatkan 16 pelajar dari Universitas Jember, Indonesia, sekali gus membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman merentas institusi serta negara.

Dekan FPP UniSZA, Prof Madya Dr Mazuri Abd Ghani berkata, program berkenaan menjadi platform memperluas kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan pembangunan kewangan sosial Islam.

Menurutnya, hubungan antara universiti bukan sekadar pertukaran lawatan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perkongsian idea, penghasilan pengetahuan dan penyelesaian terhadap cabaran masyarakat.

"Penyelidikan yang baik tidak berhenti pada persoalan akademik. Ia bermula dengan memahami masalah, berkembang melalui kolaborasi dan mencapai makna apabila mampu memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Dr Khairul Nizam Osman berkata, inisiatif itu turut menjadi medium menghubungkan kepakaran, pengalaman dan persahabatan antara institusi bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

“Ia juga mencerminkan komitmen FPP UniSZA memperluas jaringan strategik dengan institusi antarabangsa dan industri, selain memperkukuh peranan universiti sebagai platform perkongsian ilmu serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar beliau.

Antara pengisian utama program ialah perkongsian mengenai Islamic Social Finance, khususnya potensi instrumen wakaf, zakat dan sedekah dalam memperkasa pembangunan masyarakat serta kesejahteraan sosioekonomi.

Pada hari kedua, peserta turut mengadakan lawatan akademik ke Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) bagi memahami peranan organisasi itu dalam pengurusan pelaburan strategik dan pembangunan ekonomi negeri.

Menerusi sesi taklimat, peserta didedahkan kepada strategi korporat, tadbir urus, pengembangan perniagaan serta perancangan projek termasuk Primula by the Lake.

Pendedahan industri itu membolehkan peserta menghubungkan teori pengurusan, kewangan dan pelaburan dengan amalan sebenar, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan