KUALA TERENGGANU, 24 November – Bekas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Dato' Razali Idris tidak menolak kemungkinan menyertai PAS selepas menyelesaikan tanggungjawabnya dalam parti itu.
Beliau berkata, buat masa ini, keutamaan diberikan kepada tugas dan tanggungjawabnya sebagai ahli Bersatu meskipun sudah melepaskan jawatan sebagai ketua pimpinan parti berkenaan di peringkat negeri.
Menurutnya, beliau menghormati keputusan isterinya, To' Puan Nor Aizam Abu Bakar yang memilih untuk menyertai Pas dan tidak melihat perbezaan haluan politik sebagai penghalang dalam hubungan mereka.
“Suami isteri sekarang politiknya bukan macam dulu lagi. Jadi saya tidak halang dia. Biarlah dia dengan cara dia, lagipun kawan-kawannya ramai dalam PAS, jadi dia boleh berjuang bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (CoE) sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 di sini, hari ini.
Mengulas kedudukannya dalam Bersatu, Razali menjelaskan beliau tidak pernah menghantar surat keluar parti, sebaliknya hanya melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu pada 7 Ogos lalu selepas kira-kira 10 tahun menerajui parti itu di negeri ini.
Katanya, beliau masih berstatus ahli biasa dan akan terus mempertahankan prinsip perjuangan parti, selain tidak teragak-agak menegur sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.
Mengulas kemungkinan mengikuti jejak isterinya menyertai PAS, beliau mengakui perkara itu tidak mustahil selepas segala tanggungjawabnya dalam Bersatu diselesaikan.
“Insya-Allah, kemungkinan besarlah tu. Doakan saya sihat, saya mampu lagi untuk membantu parti dan kerajaan. Jika saya boleh berkhidmat lagi, insya-Allah saya akan ada bersama-sama dengan anda semua,” katanya.