Jalur Gemilang
Berita :
  Tengkujuh : Keselamatan Penduduk Jadi Keutamaan Ariffin
Tengkujuh : Keselamatan Penduduk Jadi Keutamaan Ariffin
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
49

MARANG, 24 November – Di sebalik kesibukan menjalankan tanggungjawab hakiki, kebajikan dan keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman yang turun padang meninjau keadaan paras air di beberapa lokasi sungai di DUN terbabit susulan hujan berterusan sejak semalam.

Antara lokasi yang ditinjau ialah sungai berhampiran Jambatan Binjai Berambu / Belukar Sukai serta Sungai Belukar Sukai berhampiran Jambatan Tok Hakim bagi melihat perkembangan terkini paras air dan mengenal pasti sebarang risiko kenaikan air.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pemantauan berterusan penting bagi memastikan keadaan semasa di kawasan berisiko sentiasa diberi perhatian khususnya ketika menghadapi musim tengkujuh.

“Saya harap penduduk sentiasa berwaspada, peka terhadap perubahan cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku peningkatan paras air.

“Jangan bermain atau menghampiri kawasan sungai yang berarus deras serta patuhlah arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau turut mengajak seluruh penduduk agar bersama-sama berdoa supaya sentiasa berada dalam lindunganNya.

“Insya-Allah, kita sama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi seluruh penduduk dan dijauhkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

 “Jaga diri, jaga keluarga dan sentiasa utamakan keselamatan. Semoga kita semua dilindungi sepanjang musim banjir ini,” ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan