Jalur Gemilang
Berita :
Lahir Di Luar Terengganu Bukan Penghalang Miliki Tanah RTB – Razali
Lahir Di Luar Terengganu Bukan Penghalang Miliki Tanah RTB – Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
3 jam yang lepas
61

KEMAMAN, 23 November – Seramai 18 peserta telah menghadiri sesi temuduga bagi Projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Sungai Ibok sebagai sebahagian daripada usaha meneruskan proses pelaksanaan inisiatif berkenaan demi membuka peluang pemilikan tanah kepada penduduk setempat.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Razali Idris, dengan penglibatan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Kijal.

Razali berkata, kesemua 18 peserta yang ditemuduga layak untuk memohon tanah berkenaan, namun mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk tidak berhasrat menjual tanah tersebut sekiranya permohonan diluluskan.

Menurut beliau, pertimbangan turut diberikan kepada pemohon yang bukan dilahirkan di Terengganu tetapi mempunyai sijil kelahiran atau dokumen kerakyatan Terengganu, selaras dengan pendekatan untuk memastikan golongan berkenaan turut mendapat peluang yang sama.

“Lebih 80 peratus daripada peserta yang memohon bukan dilahirkan di Terengganu, tetapi mempunyai dokumen kerakyatan Terengganu. Mereka turut diberikan pertimbangan dan disantuni secara adil, sama seperti rakyat Terengganu yang lain.

“Kita mahu memastikan peluang memiliki tanah ini diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan masih belum mempunyai tanah sendiri, bukannya untuk tujuan penjualan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi temuduga bersama 18 peserta di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal Cawangan Seri Bandi, semalam.

Terdahulu, sesi temuduga RTB turut diadakan di Dewan Felcra Seri Bandi, Kijal pada bulan lalu, melibatkan seramai 62 peserta bagi meneliti permohonan serta mengenal pasti kelayakan mereka untuk mengikuti proses seterusnya.

Secara keseluruhannya, sebanyak 80 peserta telah melalui sesi temuduga bagi projek RTB berkenaan, melibatkan 62 peserta pada sesi terdahulu dan 18 peserta pada sesi terkini.

Razali berharap agar pelaksanaan projek berkenaan dapat diteruskan dengan lancar supaya lebih ramai penduduk yang layak berpeluang memiliki tanah sendiri, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat setempat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan