Oleh: Naim Fadhilah
DUNGUN, 31 Januari- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik merakamkan ucapan takziah kepada jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan pemergian bapanya, Awang Embong, awal pagi tadi.
Wan Hapandi mengharapkan agar Azizulhasni sekeluarga tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan keluarga dapat menerima ujianNya dengan redha,” ujarnya kepada pemberita selepas mengziarahi arwah buat kali terakhir di rumahnya, hari ini.
Allahyarham Awang Embong, yang berusia 72 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada jam 2 pagi kerana menderita sakit strok.
Perkara itu disahkan oleh Mohd Razman Mohamad, 37, menantu kepada Allahyarham.
"Saya dan beberapa orang ahli keluarga sempat menemani dan menjaga Allahyarham sehingga nafas terakhirnya," ujarnya.
Allahyarham lebih dikenali sebagai sebagai ‘Pak Awang’ menghidap penyakit strok sejak lima tahun yang lalu.
Mohd Razman berkata, Allahyarham baru sahaja pulang setelah membuat rawatan di Hospital Swasta empat hari yang lalu.
"Allahyarham baru lepas mendapatkan rawatan kerana mengalami masalah paru-paru dan pulang ke rumah apabila disahkan normal oleh pihak Hospital," katanya.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.