Jalur Gemilang
Berita :
Malaysia, Vietnam Sepakat Banteras Pemburuan Dan Penyeludupan Hidupan Liar
Malaysia, Vietnam Sepakat Banteras Pemburuan Dan Penyeludupan Hidupan Liar
Noraini Jusoh
16 jam yang lepas
266

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Malaysia dan Vietnam bekerjasama dalam membanteras aktiviti pemburuan dan penyeludupan hidupan liar serta mencegah pencerobohan kawasan perlindungan menerusi Bengkel Dua Hala Malaysia-Vietnam.

Bengkel anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) dengan kerjasama Panthera Malaysia dan WCS Viet Nam itu berlangsung di Hotel Raia, di sini pada 28 hingga 30 September lalu.

Pengarah MPTN, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, Malaysia memandang serius penglibatan individu dari Vietnam dalam aktiviti pemburuan haram dan pencerobohan kawasan perlindungan di negara ini.

“Mana-mana individu yang memasuki Malaysia dengan tujuan menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang seperti memburu hidupan liar, menceroboh hutan simpan, rizab atau kawasan perlindungan serta mengambil hasil hutan secara haram perlu bersedia berdepan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan bengkel berkenaan.

Bengkel tersebut menghimpunkan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri serta Persekutuan selain sembilan delegasi dari wilayah Quang Tri, Vietnam.

Perbincangan memberi tumpuan kepada isu pemburuan dan penyeludupan hidupan liar, pengambilan hasil hutan secara tidak sah serta pencerobohan kawasan perlindungan dan Hutan Simpan oleh warganegara Vietnam di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Vietnam khususnya di wilayah Quang Tri meningkatkan kesedaran serta usaha pencegahan bagi menghalang warganya daripada terlibat dalam aktiviti haram di Malaysia.

Katanya, kerjasama tersebut penting bagi membantu memutuskan rantaian jenayah hidupan liar dan pengambilan hasil hutan secara haram.

Sementara itu, wakil agensi Malaysia yang menyertai bengkel berkenaan menyatakan iltizam untuk terus memperkukuh koordinasi antara agensi di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Usaha itu termasuk membina jaringan kerjasama dengan pihak berkuasa Vietnam dan rakan strategik bagi memastikan perkongsian maklumat, pengenalpastian risiko lebih awal serta tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan demi melindungi kelestarian alam semula jadi dan biodiversiti Malaysia,” ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan