Agensi dan jabatan kerajaan negeri diminta bertindak secara proaktif dalam menangani masalah dan isu berkaitan bencana banjir terutamanya pada musim tengkujuh.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pada musim tengkujuh dan hujan menyebabkan kejadian seperti jalan terputus hubungan ataupun longkang tersumbat dan masalah itu perlu disegerakan agar tidak menyulitkan rakyat.
“Saya minta apabila saja berlaku kejadian-kejadian tersebut, jabatan-jabatan haruslah bertindak segera berdasarkan kapasiti masing-masing.
“Ini merupakan salah satu konsep transformasi kerajaan yang dilakukan. Apabila saya dapat saja makluman tentang insiden jalan raya terputus hubungan, saya minta supaya ketua-ketua jabatan segera ke tempat kejadian untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa melawat kawasan jalan raya terputus hubungan di Wakaf Baru, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Razif berkata, tindakan segera dan proaktif perlu diambil bagi mengelakkan nilai kerugian bertambah dan meningkatkan kos penyelenggaraan.
“Jika ianya dibiarkan semakin lama, kerosakan yang akan akan dialami bertambah sekaligus melibatkan kos pembaikan bertambah. Bagi mengelakkan kerugian, tindakan segera perlu diambil,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri telah menyediakan e-Aduan kepada rakyat Terengganu bagi memudahkan rakyat untuk menyampaikan sebarang aduan.
“Jika aduan yang dilaporkan melalui e-Aduan tidak dapat diselesaikan dalam masa tiga hari, saya sendiri atau ketua jabatan akan turun ke lokasi tersebut utuk menyelesaikannya,” katanya.