lightning-solid
Berita :
Agihan Kit SPM DUN Rantau Abang, Sokongan Buat Generasi Masa Depan
Agihan Kit SPM DUN Rantau Abang, Sokongan Buat Generasi Masa Depan
Wan Al Affan Bassam Wan Manam
30 Oct 25
273

DUNGUN,  — Menyedari bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara detik penting dalam alam persekolahan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, telah mengadakan kunjungan ke beberapa sekolah menengah sekitar DUN Rantau Abang bagi mengagihkan Kit Alatan SPM kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, sebagai satu bentuk sokongan kerajaan negeri.

Menurut Fadhli, walaupun sumbangan berkenaan kecil nilainya, namun besar maknanya sebagai tanda sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang bakal menghadapi ujian penting dalam hidup mereka.

Kit yang diagihkan mengandungi beberapa kelengkapan asas seperti pensel, pemadam, pembaris dan alatan tulis lain yang dapat membantu pelajar membuat persediaan terakhir menjelang peperiksaan.

Sumbangan itu diserahkan kepada guru-guru bagi pihak sekolah untuk diagihkan kepada para pelajar yang terlibat.

“Pejam celik, pejam celik tak lama lagi adik-adik kita akan mula menduduki peperiksaan SPM. Jadi, apabila teringat pada mereka, saya ambil kesempatan untuk turun menziarahi sekolah-sekolah sekitar DUN Rantau Abang bagi menyerahkan sedikit sumbangan sebagai tanda ingatan.

“Mungkin apa yang kita beri ini tak besar mana, tapi saya harap ia dapat jadi bekal kecil yang membawa semangat dan keyakinan buat adik-adik kita ketika melangkah ke dewan peperiksaan nanti,” katanya ketika ditemui semasa sesi agihan tersebut.

Beliau turut menzahirkan doa dan harapan agar semua calon peperiksaan di Rantau Abang diberikan kemudahan, ketenangan dan kejayaan cemerlang dalam menduduki peperiksaan yang bakal tiba, selain mendoakan agar para guru sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus mendidik generasi muda negara.

“Guru-guru ini insan hebat yang terus berbakti tanpa mengenal penat, dan adik-adik pula adalah harapan masa depan. Semoga Allah permudahkan urusan mereka semua,” katanya mengakhiri kunjungan mesra tersebut.



Tag :

Utama

Artikel Berkaitan