Ahli Geologi Dedah Dua Lokasi Jumpa Emas Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4.

Mengakui perkara tersebut Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar yang menjelaskan lokasi terperinci adalah di Bukit Besi dan Cheneh.

“Kajian pengesahan lapangan boleh dilakukan di kawasan itu sama ada ia berpotensi sama seperti di Lubuk Mandi dan Mersing yang terletak di jalur yang sama.

“Secara ringkasnya, kajian di Jalur Emas 4 pada masa kini masih belum intensif seperti di Jalur Emas 2 dan 3.

“Jadi adalah wajar sekiranya kajian terhadap jalur emas paling hujung ini dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif dari aspek struktur, geokimia, pe­mineralan dan penentuan rizab emas itu sendiri,” katanya sepertimana dilaporkan Kosmo!.

Menurut Abd. Rasid, Jalur Emas 4 masih lagi menjadi misteri walaupun aktiviti perlombongan di Lubuk Mandi dan ‘gold rush’ di Mersing berlaku lebih kurang 10 tahun dahulu.

Katanya, berdasarkan kepada maklumat, emas di kawasan Lubuk Mandi, Terengganu ini bercampur dengan mineral-mi­neral sulfida seperti kalkopirit, arsenopirit dan pirit.

“Secara geologinya Lubuk Mandi didasari batuan klastik gunung berapi dan metasedimen sabak filit serta sedikit batuan berkarbon yang mengalami perejahan dan potongan daik dasit dan telerang kuarza.

“Kawasan ini mengalami sesar ricihan dan pemineralan dalam telerang kuarza dan batuan din­ding yang berlaku di sekitar zon sesar semasa fasa kerapuhan (brittle phase),” jelasnya.

Sumber berita melaporkan Malaysia kaya dengan simpanan emas, bauksit, mineral bukan logam dan mineral tenaga bernilai hampir RM4.11 trilion termasuk banyak lagi kawasan sumber galian itu yang berpotensi untuk diteroka di negara ini.