KUALA NERUS, 18 September - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan pembentukan empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu State-Government 4 atau SG4 sebagai langkah mahu memusuhi Kerajaan Persekutuan.
Beliau sebaliknya menegaskan, pembentukan SG4 itu adalah untuk meningkatkan potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis melalui kerjasama erat dalam bidang industri, pelancongan dan ekonomi.
"Semua yang kita laksanakan ini, cari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi dan perkara-perkara yang berkaitan di negeri-negeri yang ditadbir PN.
"Apa juga usaha yang kita buat, dari kecil sehingga besar (termasuk pembentukan SG4) adakah itu dah dikira tak hormati Kerajaan Persekutuan?," soalnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya pembentukan SG4 adalah seolah-olah memusuhi kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, pembentukan SG4 adalah antara inisiatif demi manfaat rakyat di negeri masing-masing tanpa wujudnya sebarang sentimen anti Kerajaan Persekutuan.
"Pada peringkat ini pun kita sedang bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian," katanya.
"Saya pun baru minggu lepas hadir mesyuarat dengan ECRL, jadi tak timbul isu kita tidak hormati kerajaan persekutuan. Saya percaya untuk kita capai satu matlamat, kita harus guna pelbagai cara. Kiri kanan, atas bawah asalkan tercapai objektif yang kita ingin capai," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara bukti betapa eratnya hubungan kerajaan negeri Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan selama ini.
Ditanya mengenai pemilihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi untuk SG4 pula, Ahmad Samsuri berkata peranan Tun Mahathir dalam menerajui kepimpinan negara selama ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya.
"Saya boleh katakan dalam pertemuan pertama antara Tun dengan kakitangan kerajaan negeri Terengganu sempena Program Retreat Exco baru-baru ini, beliau tak sentuh pun soal politik sepanjang 40 minit ucapannya.
"Tun hanya sentuh mengenai pentadbiran dan bagaimana untuk meningkatkan kecekapan.
"Adakah menjadi satu kesalahan bagi kami (SG4) untuk ambil ilmu dari individu yang telah terbukti kehebatan dan pencapaiannya selama ini," katanya.
Tambahnya, pada tahun 2018 juga, kerajaan negeri Terengganu telah melantik bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai penasihat untuk hal ehwal ekonomi dan pelaburan serta pelbagai perkara yang berkaitan.