Aidilfitri : Pengguna Perlu Rancang Perbelanjaan Dengan Berhemah

KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Orang ramai dinasihatkan fokus kepada keperluan dan tidak mudah terpengaruh dengan taktik promosi jualan murah di musim perayaan Aidilfitri. 

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu, Mohd Azizuddin Abdullah berkata, bukan suatu kesalahan untuk berbelanja di musim perayaan tetapi biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan.

"Kebanyakkan pengguna yang terlebih belanja pada musim perayaan disebabkan tidak membuat perancangan perbelanjaan yang rapi selain mudah dipengaruhi dengan tawaran jualan murah.

"Ditambah sekarang ini penggunaan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin popular di platform e-dagang mendorong mereka berbelanja mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko dikemudian hari," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman menerusi segmen Selamat Pagi Terengganu, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, BNPL sepatutnya digunakan untuk keperluan bukan sekadar memenuhi kehendak, terutama dalam musim perayaan.

Susulan itu katanya, AKPK memperkenalkan formula SAHUR bagi membantu pengguna menguruskan kewangan secara berhemah sekali gus dapat membimbing masyarakat dalam membuat keputusan.

"Maksud untuk singkatan bagi formula ini ialah semak keperluan sebelum membeli (S), awasi perbelanjaan dan bandingkan harga BNPL dengan harga asal (A), hadkan pembelian mengikut kemampuan bukan mengikut kredit tersedia (H), usah terburu-buru, fikir alternatif lebih murah (U) dan rancang pembayaran balik dengan teliti (R)," jelasnya.