Akta 576 Penting Kepada Persatuan Dan Penggiat Sukan


KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Maklumat berkait pindaan Akta 576 yang terkandung dalam Akta Pembangunan Sukan 2018 di mana menekankan berkenaan perlesenan penganjuran sukan adalah sangat penting kepada para pegawai dan penggiat sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ianya adalah untuk mengelakkan berlakunya sesuatu perkara yang bercanggah dengan akta tersebut.

“Pindaan  Akta 576 ataupun akta berkaitan dengan pembangunan  sukan ini adalah sangat penting  dan perlu diketahui oleh semua yang terlibat dalam penganjuran sukan di semua peringkat.

“Jadi akta ini perlu diketahui  kerana  kita bimbang  dengan menyalahi ataupun mengingkarinya, akan menyebabkan hukuman kepada individu atau kumpulan,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sesi ‘Engagement’ Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) peringkat negeri Terengganu di Dewan Teater, Wisma Darul Iman kelmarin.

Menurutnya, taklimat itu bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan serta pentadbiran sukan di negara ini.

“Ianya mempunyai 43 seksyen yang terbahagi kepada tujuh bahagian dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 1998 di Semenjung Malaysia dan 1 Oktober  di Sabah dan Sarawak.

“Konsep pelaksanaan  sesi ‘engagement’ secara taklimat  langsung pada agensi-agensi kerajaan  dan persatuan di  peringkat negeri yang terlibat adalah bagi menerangkan dengan lebih lanjut tentang pindaan Akta  576  yang telah pun diluluskan dan penambahbaikan yang sedang  dijalankan,” tambah beliau.


Oleh itu, beliau berharap, ianya akan memberi peluang dan ruang kepada agensi dan NGO sukan untuk memberi input yang lebih tepat bagi kemudahan sukan di negeri Terengganu pada masa akan datang.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dato’ Zaiton Othman.








Tag: