Berita :
SUKMA Skala Kecil, Terengganu Tetap Bawa Cabaran Terbaik
SUKMA Skala Kecil, Terengganu Tetap Bawa Cabaran Terbaik
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
50

KUALA TERENGGANU, 28 April – Terengganu sudah membuat persiapan awal bagi membawa cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, meskipun penganjuran edisi kali ini bakal berlangsung dalam skala kecil.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tidak berdepan sebarang perubahan besar dari segi persiapan kerana perancangan telah dimulakan sebaik sahaja SUKMA edisi lalu berakhir.

Menurutnya, segala program pembangunan atlet dan persediaan kontinjen telah dirancang bagi memastikan penyertaan Terengganu pada SUKMA kali ini mampu mencatat pencapaian lebih cemerlang.

“Bagi pihak negeri Terengganu, sebenarnya tidak ada apa-apa perubahan. Kita telah bergerak dari awal lagi iaitu sebaik sahaja SUKMA edisi lalu selesai.

“Kita terus merencanakan dari segi program bapa angkat, jabatan angkat dan jurulatih-jurulatih dalam bentuk latihan.

“Jadi tidak ada apa-apa kesan kepada kita. Ia akan diteruskan dengan apa yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu (AST) 2024/2025 di Dewan Permata, Hotel Permai, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, penganjuran SUKMA tetap perlu diteruskan walaupun dalam skala kecil kerana temasya itu berperanan penting sebagai medan mengukur prestasi atlet sebelum diketengahkan ke peringkat antarabangsa, termasuk Sukan SEA.

Menurutnya, SUKMA menjadi platform penting untuk mengenal pasti atlet yang benar-benar berkelayakan dan berpotensi mewakili negara pada kejohanan lebih tinggi.

“Ini amat penting supaya Malaysia dapat menyediakan atlet yang berkelayakan, yang kita uji di peringkat kebangsaan sebelum dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Jadi saya percaya pihak kementerian bersama seluruh Majlis Sukan Kerajaan Negeri akan menentukan jenis sukan yang ada kemajuannya untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, persiapan awal itu penting bagi memastikan atlet negeri berada pada tahap terbaik menjelang temasya berkenaan.

Katanya, pendekatan berterusan melalui latihan tersusun, sokongan jabatan serta pemantauan jurulatih menjadi antara kekuatan Terengganu dalam membina kontinjen yang lebih kompetitif.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan secara menyeluruh, termasuk memperkukuh ekosistem latihan dan sokongan kepada atlet muda.

“Fokus kita adalah memastikan semua perancangan yang telah disusun berjalan dengan baik dan atlet mendapat sokongan sewajarnya untuk menghadapi SUKMA nanti,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan