Aktiviti Pulau Bidong Dimasukkan Dalam Kalendar Acara Terengganu
Jamhariah (kanan) menunjukkan cara kepasa Tun Ahmad Faisal cara untuk memotong batu karang di Pulau Bidong, semalam. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim. |
Semua program yang bakal dijalankan di Pulau Bidong, Setiu akan dimasukkan di dalam Kalendar Acara Terengganu bagi menarik lebih ramai pelancong terutamanya kepada penyelam.
Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, Pulau Bidong akan dipromosikan bersama-sama dengan empat atau lima destinasi pelancongan lain antaranya Tasik Kenyir serta Taman Bencah Setiu dan akan menjadikannya sebahagian daripada pelancongan bandaraya Kuala Terengganu.
"Kita akan paparkan nama dan wajah Pulau Bidong dalam program-program promosi kita ini. Insyaallah kita ada Matta Fair serta 'World Travel Market' di London dan kita akan fokuskan Pulau Bidong ini.
"Kita juga ada program-program jelajah seperti di Melaka serta Kuala Lumpur dan turut akan fokuskan nama Pulau Bidong ini," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pemberita dalam lawatannya ke Pulau Bidong, Setiu, semalam.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar.
Tambahnya, Pulau Bidong sebelum ini hanya dikenali sebagai pusat transit pendatang dari Vietnam juga selain sebagai pulau persinggahan kepada nelayan apabila berlakunya ribut.
Tun Ahmad Faisal berkata, sejak 2006, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Yayasan Coral Malaysia, Universiti Terengganu Malaysia dan Jabatan Muzium Negeri Terengganu telah melancarkan sebuah galeri bawah laut di Pulau Bidong.
"Galeri ini boleh dikatakan pembuka tirai dalam kita perkenalkan Pulau Bidong sebagai satu lagi destinasi pelancongan di Terengganu.
"Dengan pembukaan galeri bawah laut ini, Pulau Bidong menjadi semakin terkenal. Sekarang ianya menggamit begitu ramai sekali kumpulan-kumpulan untuk melawat dan menikmati keunikan serta kecantikan Pulau Bidong ini seperti batu karang yang ada di sekelililing pulau," katanya.
Beliau berkata, sejak galeri tersebut ditubuhkan, pelbagai replika telah dilabuhkan ke dasar laut di Pulau Bidong bagi memberikan kelainan kepada penyelam-penyelam yang inginkan kelainan.
Katanya, sehingga kini, di dasar laut sekitar Pulau Bidong telah dilabuhkan sebuah bas, lori, pintu gerbang, penyu dan banyak lagi.
"Dan yang terbaru sekali adalah projek pemuliharaan batu karang. Kalau dulu kita melabuhkan replika sekarang kita mencantikkan Pulau Bidong ini dengan kehidupan semulajadi iaitu melalui program 'penyebaran batu karang'.
"Melalui pembiakan batu karang, kawasan ini sudah dipenuhi dengan batu-batu karang dan kawasan pembiakan ini sudah merebak ke sekeliling pulau jadi pelancong-pelancong terutamanya penyelam yang datang ke sini selepas ini selain dari melihat replika tadi boleh melihat kecantikan alam semulajadi seolah-olah ia timbul di situ bersama-sama dengan batu karang lain," katanya.