Berita :
Hotel Pulau Poh : Projek Tinggalan Lama Dipacu Semula Bersama Primula, Permai
Hotel Pulau Poh : Projek Tinggalan Lama Dipacu Semula Bersama Primula, Permai
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
173

KUALA TERENGGANU, 27 April – Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir, projek tinggalan kerajaan terdahulu bernilai RM97.4 juta, kini sedang dipacu semula oleh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. selepas beberapa kali tertangguh.

Hotel berkenaan disasarkan mula beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga 2026, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh semula ekosistem pelancongan Tasik Kenyir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek itu diserahkan kepada Terengganu Inc pada Disember 2024 dan masih berada dalam tempoh Defects Liability Period (DLP).

Menurutnya, antara cabaran yang perlu ditangani ialah penarikan diri operator hotel pada saat akhir pertengahan Februari lalu, yang sedikit sebanyak menjejaskan perancangan awal pembukaan hotel tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata Terengganu Inc mengambil pendekatan strategik dengan menggerakkan kepakaran dalaman melalui penglibatan Primula Beach Hotel dan Permai Hotel Kuala Terengganu.

“Susulan itu, kita menggabungkan pengalaman dan kepakaran pengurusan Primula Beach Hotel serta Permai Hotel Kuala Terengganu bagi membantu proses perancangan operasi dan persediaan pembukaan hotel berkenaan,” katanya dalam sidang media di Wisma TI di sini, hari ini.

Burhanuddin berkata, penglibatan dua hotel berpengalaman itu penting bagi memastikan Hotel Pulau Poh tidak dibuka secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui penyusunan operasi yang lebih kemas dan realistik.

Katanya, pembukaan hotel itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan tumpuan kepada kerja baik pulih kemudahan, pengambilan tenaga kerja dan penyelarasan operasi secara menyeluruh.

“Persiapan akhir bagi pembukaan semula Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir kini giat dilaksanakan, melibatkan kerja baik pulih kemudahan, pengambilan tenaga kerja serta penyelarasan operasi secara menyeluruh.

“Kita juga memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM4 juta sebagai modal awal bagi memastikan hotel berkenaan dapat kembali beroperasi mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun projek itu mewarisi beberapa cabaran dari segi kos, operasi dan persediaan teknikal, Terengganu Inc kekal komited memastikan aset tersebut tidak terus terbiar.

Sebaliknya, katanya, Hotel Pulau Poh akan dijadikan antara produk pelancongan utama di Tasik Kenyir yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat dan industri hospitaliti negeri.

“Terengganu Inc juga menyasarkan hotel ini akan menjadi pilihan utama bagi penempatan kakitangan profesional dan delegasi projek pembinaan solar terapung, iaitu projek kerjasama antara TNB Genco dan Terengganu Inc,” ujarnya.

Hotel bertaraf tiga bintang itu menawarkan 150 bilik penginapan lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan konvensyen berkapasiti sehingga 1,000 tetamu, enam bilik mesyuarat, restoran berkapasiti 300 orang, kafeteria terbuka yang boleh menampung 100 orang, ruang parkir luas serta pelbagai kemudahan sokongan lain.

Selain itu, kawasan Pulau Poh turut dilengkapi dewan terapung berbentuk kubah, jeti bot laju dan rumah bot, ruang acara, medan selera, surau serta kemudahan sampingan lain.

Burhanuddin turut menegaskan, pembukaan semula Hotel Pulau Poh tidak akan menjejaskan pengusaha penginapan sedia ada termasuk pengusaha rumah bot.

Sebaliknya, beliau berkata hotel itu menyasarkan segmen pasaran berbeza dan akan melengkapkan lagi kepelbagaian produk pelancongan di Tasik Kenyir.

“Hotel ini menyasarkan segmen pasaran yang berbeza dan bukan bertujuan untuk bersaing dengan houseboat di Tasik Kenyir, malah akan melengkapkan lagi kepelbagaian produk pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Dengan rekod kehadiran melebihi 360,240 pelawat ke Kenyir Geopark setakat November lalu, pembukaan Hotel Pulau Poh dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Usaha menghidupkan semula projek tinggalan lama itu juga dilihat sebagai langkah kerajaan negeri memastikan aset bernilai tinggi tidak menjadi beban, sebaliknya dipulihkan untuk memberi manfaat kepada rakyat, pemain industri dan sektor pelancongan Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan