Berita :
KL Perlu Jadi Kota Ilmu, Budaya, Bukan Hab Hiburan Melampau - EXCO
KL Perlu Jadi Kota Ilmu, Budaya, Bukan Hab Hiburan Melampau - EXCO
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 30 Mei  Kuala Lumpur perlu dibangunkan sebagai kota kosmopolitan yang berpaksikan ilmu, budaya, inovasi dan pembangunan insan, bukan sekadar dikenali sebagai pusat hiburan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata kejayaan sesebuah bandar bertaraf dunia tidak wajar diukur semata-mata melalui jumlah tiket yang terjual atau keuntungan daripada penganjuran acara hiburan berskala besar.

Menurutnya, keuntungan ekonomi memang penting, namun ia tidak boleh menjadi satu-satunya neraca dalam menentukan hala tuju pembangunan bandar.

“Keuntungan penting, tetapi ia bukan satu-satunya ukuran kejayaan.

“Pemimpin perlu bertanya bukan sahaja berapa banyak wang yang masuk, tetapi apakah budaya dan kesan yang turut dibawa bersama,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.

Razali berkata, cabaran sebenar bagi sesebuah pentadbiran ialah membina ekosistem pelancongan yang mampan, berteraskan warisan, sejarah, kebudayaan, gastronomi, ekonomi halal serta tarikan ilmu.

Jelasnya, pelancongan yang matang tidak sepatutnya dibangunkan dengan mengorbankan nilai masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Kuala Lumpur sepatutnya diangkat sebagai kota ilmu, inovasi, keusahawanan dan tamadun yang mampu membina masyarakat secara lebih menyeluruh.

“Itu barulah visi pembangunan yang lebih besar, matang dan bermaruah,” katanya.

Dalam masa sama, Razali turut menegur pendekatan pembangunan yang menurutnya terlalu mudah memberi laluan kepada budaya hedonisme antarabangsa atas nama mempermudah kelulusan atau mengurangkan birokrasi.

Katanya, kepimpinan negara memerlukan hala tuju yang jelas, berpaksikan nilai dan maruah, bukan sekadar mengejar limpahan ekonomi jangka pendek.

“Ia adalah satu bentuk kemalasan berfikir.

“Bandar bertaraf dunia bukan sekadar menjadi pusat hiburan, tetapi pusat ilmu, ekonomi, budaya dan pembangunan insan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan