KUALA TERENGGANU, 31 Mei – Hampir 8,000 akaun pengguna di daerah ini terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kerosakan tiga unit Raw Water Pump (RWP) di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Tong (II) sejak 27 Mei lalu.
Menurut Syarikat Air Terengganu (SATU), kerosakan melibatkan RWP No.1, No.2 dan No.4 yang berlaku pada sebelah petang 27 Mei menyebabkan hanya RWP No.3 dapat beroperasi bagi meneruskan pengeluaran air terawat.
Jelas SATU, situasi itu memberi kesan kepada pengguna di kawasan utara Setiu sehingga ke FELDA Belara yang mengalami gangguan dan putus bekalan air bersih.
“Kerja-kerja pembaikan berjaya diselesaikan pada 30 Mei melibatkan RWP No.1 dan ketika ini LRA Sungai Tong (II) beroperasi menggunakan dua unit pam iaitu RWP No.1 dan RWP No.3.
“Usaha pemulihan bekalan sedang dilaksanakan secara berperingkat dan menunjukkan perkembangan yang positif,” kata SATU.
Tambah SATU, bagi membantu pengguna yang terjejas, sebanyak empat lori tangki air telah digerakkan ke lokasi-lokasi kritikal bermula 28 Mei lalu.
Bagaimanapun, kata SATU, proses penghantaran bekalan air berdepan cabaran berikutan keadaan trafik yang sesak sempena musim perayaan Aidiladha dan cuti persekolahan.
Menurut SATU, sehingga kini beberapa kawasan tinggi dan hujung sistem agihan masih memerlukan bantuan bekalan air melalui lori tangki.
“Kawasan yang masih memerlukan bantuan termasuk Kampung Alur Serdang, Kampung Bintang, Kampung Bukit Grebar, Kampung Panchur Merah dan Kampung Teluk Tasek di utara Setiu.
“Turut terlibat ialah kawasan tinggi di FELDA Chalok Barat, kawasan tinggi FELDA Belara, Kampung Sungai Las serta Kampung Pak Ba,” katanya.
SATU berkata, perkembangan semasa menunjukkan hampir keseluruhan tangki air agihan dan tangki air imbangan di daerah Setiu mula mencatatkan peningkatan paras simpanan air.
“Ini merupakan petanda positif bahawa proses pemulihan bekalan air sedang berlaku dan dijangka terus bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Kita akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan bekalan air dihantar ke kawasan yang masih terkesan sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.
Tag :