KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Amil zakat di Terengganu perlu proaktif dalam menangani aduan daripada setiap asnaf supaya masalah golongan tersebut akan sentiasa dapat dibantu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, tugasan golongan itu bukan hanya mengutip zakat fitrah pada bulan Ramadhan sahaja, malah perlu menumpukan tanggungjawab itu sepanjang tahun.
Katanya, paling penting adalah kerjasama dengan pemimpin setempat bagi mendapatkan maklumat secara terperinci tentang golongan mana yang perlu diutamakan.
"Setiap amil perlu memberi tumpuan kepada masyarakat yang tidak mampu bekerja, uzur, warga emas, pesakit terlantar atau mana-mana asnaf yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 dan mempunyai tanggungan ramai.
"Pendekatan itu penting bagi mengelak masyarakat di negeri ini terus dibelenggu kemiskinan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Multaqa Amil Zakat Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, hari ini.
Osman turut memberitahu, sehingga akhir tahun lalu hanya 5,000 daripada 30,000 penduduk di seluruh negeri masih tersenarai dalam sistem e-Kasih dan berada di bawah paras kemiskinan.
"Setiap tahun kami menerima lebih 40,000 permohonan untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan.
"Antaranya, bantuan bulanan, bina rumah, bencana alam, hemodialisis dan bantuan pendidikan," katanya.