Amzad Taja 3,300 Pelajar Kelas Digital Mahir Tutor SPM

Oleh : Syafiq Sapai

KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Seramai 3,300 pelajar yang bakal menduduki calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Parlimen Kuala Terengganu menyertai Program Mahir Tutor SPM 2020 di bawah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi peperiksaan penting itu.

Amzad ketika dihubungi berkata, para pelajar yang bakal menduduki SPM di daerah Kuala Terengganu boleh menyertai kelas tersebut secara percuma yang dikendalikan secara dalam talian.

“Program Mahir Tutor SPM ini kita sediakan untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM, iaitu untuk seramai 3,300 pelajar di sini.

“Kita sediakan secara percuma kepada para pelajar yang berada di Parlimen (Kuala Terengganu) ini. Cuma, kita minta anak-anak pelajar kena ikuti program ini dengan baik,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Menurutnya, para pelajar tidak perlu memikirkan soal bayaran lagi dan hanya menumpukan kepada pembelajaran sahaja.

“Kos bayaran untuk setiap seorang RM10 sebulan. Jika 3,300 pelajar yang didaftarkan sebanyak RM33,000.00 sebulan. Program (Mahir Tutor) ini dibuat selama dua bulan dengan kos keseluruhan RM66,000.00 akan ditaja, insya-Allah,” jelasnya.

Apa yang penting, kata beliau, para pelajar perlu bersungguh-bersungguh belajar dan membiasakan diri dengan cara norma baharu ini.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang semakin menjalar dan belum ada tanda-tanda reda setelah setahun hidup bersama masyarakat dunia hari ini.


Tag: