lightning-solid
Berita :
Tiga Dekad Resort World Kijal, Terus Perkukuh Ekonomi Pelancongan Terengganu
Tiga Dekad Resort World Kijal, Terus Perkukuh Ekonomi Pelancongan Terengganu
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
1 jam yang lepas
55

KEMAMAN, 30 Ogos – Resorts World Kijal (RWK) terus mencipta sejarah dalam industri hospitaliti dan pelancongan negeri apabila meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya menerusi Festival Ulang Tahun Ke-30 Resorts World Kijal 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos.

Sambutan tiga dekad berkenaan menjadi medan untuk menghargai perjalanan, pencapaian dan sumbangan Resorts World Kijal sepanjang 30 tahun, selain mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, pelanggan, rakan strategik dan pihak berkepentingan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Resorts World Kijal telah berkembang menjadi antara aset penting dalam landskap pelancongan Kijal dan Terengganu.

“Tiga dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Dengan kelebihan kawasan pesisir pantai yang luas dan bersih, keindahan alam semula jadi serta kemudahan bertaraf antarabangsa, Resorts World Kijal telah membantu mengangkat nama Kijal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang mempunyai potensi besar di Pantai Timur.

“Perkembangannya bukan sekadar dari sudut pertumbuhan sebuah resort, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan pelancongan Terengganu yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-30 Resorts World Kijal baru-baru ini.

Menurut Razali, Kijal mempunyai kekuatan istimewa melalui gabungan pantai, alam semula jadi, rekreasi serta hospitaliti yang menjadi asas untuk kawasan itu berkembang sebagai destinasi pelancongan lebih berdaya saing.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan pelancongan perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, termasuk usaha pemuliharaan penyu, pemeliharaan ekosistem bakau dan pelaksanaan inisiatif kelestarian.

“Kerajaan negeri mahukan pembangunan pelancongan tetapi bukan dengan mengorbankan alam sekitar. Sebaliknya, kekayaan alam semula jadi inilah yang perlu kita pelihara sebagai aset pelancongan untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran Resorts World Kijal turut membuka peluang pekerjaan, menjana aktiviti ekonomi dan memberi limpahan manfaat kepada komuniti serta perniagaan tempatan.

Beliau berharap ulang tahun ke-30 itu menjadi permulaan kepada fasa pertumbuhan yang lebih besar dan bermakna, selain kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh industri pelancongan, menjaga kelestarian alam sekitar dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.



Tag :

Artikel Berkaitan