Anak Kembar Penyelaras DUN Bukit Besi Cemerlang PT3

Ghazali bersama anak kembarnya Hafizi dan Hafizah.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 14 Disember- Keputusan peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3), kelmarin turut melakar momen indah buat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sekeluarga apabila anak kembarnya merekod keputusan cemerlang dalam peperiksaan umum itu.

Ghazali Sulaiman berkata, kejayaan anaknya, Hafizi dan Hafizah Ghazali yang mendapat keputusan 10A itu diterima dengan penuh kesyukuran dan gembira.

Pasangan kembar yang belajar di sekolah  berasrama penuh di Setiu itu turut berjaya menghafaz 17 juzuk al-Quran melalui pengajian Tahfiz Modul Ulul Albab (TMUA).

"Peperiksaan di Sekolah itu juga turut mementingkan bahasa Inggeris, di mana peperiksaan adalah di dalam bahasa Inggeris, terutamanya bagi subjek Sains dan Matematik.

"Antara resepi kejayaan anak saya adalah kami selalu bimbing dan ingatkan mereka kepentingan terhadap pelajaran.

"Kami juga menitikberatkan didikan agama, supaya sentiasa ingat kepada Allah selain amalan membaca al-Quran dan selalu melakukan solat sunat, di samping sentiasa melakukan ulangkaji," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika dihubungi semalam.

Ghazali menambah, antara resepi lain kejayaan anaknya juga adalah pentingnya mendapat doa yang baik dan restu dari ibu bapa masing-masing.

"Tanpa restu ibu bapa kejayaan tidak akan memberi apa-apa makna.

"Kejayaan yang sejati bukan sahaja kejayaan didalam akademik, bahkan kejayaan menjadi anak yang soleh dan solehah,"katanya.

Pada masa yang sama, Ghazali juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam PT3 terutama di DUN Bukit Besi.

"Bagi yang tidak cemerlang, jangan berputus asa, masih ada masa untuk melakukan yang terbaik pada SPM di Tingkatan Lima nanti," katanya.

Tag: