Anak Marang Menang RM10,000 Cabutan Bertuah TSG Virtual Ride

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Anak jati Kampung Sungai Kerak, Marang muncul pemenang cabutan bertuah utama sempena program Terengganu Cycling Team (TSG) 10-Years Anniversary Virtual Ride berupa wang tunai RM10,000.

Kemenangan Mohd Amirul Ramli, 28, diumumkan oleh Pengarah Eksekutif Terengganu ProAsia Cycling Team merangkap Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja pada majlis penyampaian hadiah program tersebut yang diadakan secara ‘live’ di Tingkat 3, Studio TSG, hari ini.

Amirul yang merupakan anak kedua dari tujuh beradik berkata, dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah utama selepas membelanjakan RM120 untuk melayakkannya menyertai cabutan bertuah itu.

"Saya terkejut dan sangat tidak sangka ketika dihubungi pihak TSG sebentar tadi mengatakan saya pemenang utama cabutan bertuah ini," katanya yang dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.

Katanya, setakat ini dia belum memikirkan bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut.

“Tidak sangka nombor cabutan 348 membawa rezeki kepada saya, teruja sangat sampai tidak ada lagi rancangan untuk buat apa dengan duit ini,” ujarnya yang merupakan seorang pekerja kilang.

Difahamkan, program kayuhan secara maya yang dianjurkan buat julung kalinya oleh TSG, pasukan berbasikal bertaraf benua Asia yang kini genap 10 tahun penubuhan adalah sebagai penghargaan kepada peminat setia TSG yang terus memberi sokongan terutama dalam misi untuk meningkatkan lagi kualiti dan pencapaian pasukan.

Kayuhan ‘TSG Virtual Ride 2021’ yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Disember lalu untuk jarak kayuhan sekurang-kurangnya 40 kilometer perlu ditempuhi setiap peserta di lokasi masing-masing, menawarkan sebanyak 110 hadiah cabutan bertuah kepada peserta sebagai tanda penghargaan kepada peminat khususnya.