Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 29 April - Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) tidak akan berdiam diri terhadap isu royalti yang dipermainkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Presiden PERANTAU, Dr Mohd Nuri Al-Amin Endut berkata, pihaknya sedang mengerakkan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta anak rantau untuk terus mendesak agar hasil petroleum dikembalikan kepada pemiliknya.
Katanya, apa yang dilakukan itu atas semangat memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Terengganu yang selama ini turut diterima oleh rakyat Terengganu di perantauan.
"Kami masih berharap agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Dato' Seri Anwar Ibrahim) lebih amanah dan bersikap adil dalam isu royalti ini agar semua negeri (bukan hanya Sarawak yang mempunyai hasil minyak diberikan hak mereka secara telus.
"Bagi membolehkan mereka (setiap negeri yang ada hasil minyak) memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat (setelah) memberikan mandat penuh pemerintahan kepada mereka secara demokrasi," ujarnya melalui suatu kenyataan media, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr Nuri berkata memang tidak dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran wang ehsan royalti sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu pada awal April lalu, namun ia tidak bertepatan dengan tuntutan tunggakan royalti.
"Pembayaran ini dilakukan selepas daripada majlis serahan memo PERANTAU kepada YAB Perdana Menteri melalui Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Namun begitu pembayaran tersebut masih belum bertepatan dengan tuntutan tunggakan royalti minyak Terengganu untuk tahun 2023 mengikut perjanjian yang termaktub antara PETRONAS dan kerajaan negeri pad 22 Mac 1975 ( Payment Under Section 4, Petroleum Developement Act, 1974)," ujarnya.
Sehubungan dengan itu katanya, PERANTAU merasa sangat terkilan dengan pendekatan Perdana Menteri yang tidak serius dalam melunaskan apa yang termaktub di dalam perjanjian termasuk apa yang pernah dijanjikan ketika masih menjadi ketua pembangkang.
"Pembayaran sebahagian daripada jumlah pembayaran baki tahun lepas dilihat hanya sebagai umpan kepada rakyat bagi mempamerkan bahawa Kerajaan Pusat sudah menunaikan tanggungjawab mereka.
"Pada hakikatnya pembayaran sebahagian tersebut dan pemberian secara tidang langsung tanpa melalui kerajaan negeri adalah tidak mengikut perjanjian yang telah dimeterai," tegasnya.