SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Penduduk di sekitar Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati ekoran harimau belang yang didakwa berkeliaran masih belum memasuki perangkap walaupun ia sudah dipasang sejak tiga minggu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pemantauan terus dilakukan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
“Jika memerlukan penduduk melalui kawasan yang menjadi laluan atau lokasi harimau itu berkeliaran khususnya pada awal pagi atau lewat petang, pastikan mereka membawa visel atau alat mengeluarkan bunyi kuat.
“Ini boleh digunakan jika diri terancam dan ada tanda-tanda harimau mahu menyerang apabila terserempak haiwan ini. Jika tidak, terus beredar dari kawasan itu dan segera maklumkan kepada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, harimau kebiasaannya akan mengelak dari berhadapan dengan manusia dan hanya menyerang sekiranya benar-benar kelaparan.
Dalam pada itu, Kean Seong turut mengingatkan orang ramai sekiranya terjumpa dengan anak harimau, mereka perlu menjauhinya kerana kebiasaanya ibu harimau ada di kawasan berhampiran dan sangat melindungi anak mereka
“Semua maklumat ini penting untuk mendidik masyarakat cara mengelak konflik atau apa yang perlu dilakukan jika terserempak dengan harimau kerana habitat semula jadinya ada di kawasan berhampiran,” katanya.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati, harimau belang tersebut dipercayai haiwan sama yang ditemui di Kampung Santong, Paka, Dungun sebelum ini dan disyaki datang dari hutan simpan berhampiran.