Berita :
76 Pelajar Cemerlang SPM Jerteh Dirai
76 Pelajar Cemerlang SPM Jerteh Dirai
Muhammad Afiq Mohd Sa'adi
5 jam yang lepas
67

BESUT,  7 Mei – Seramai 76 pelajar cemerlang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Peringkat DUN Jerteh yang berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jerteh, hari ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang bermula 6A dan ke atas dalam peperiksaan SPM tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Riduan Mohamad Nor berkata, kejayaan para pelajar membuktikan kesungguhan dalam menuntut ilmu selain hasil sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru yang sentiasa berada di belakang mereka.

Menurut beliau, kecemerlangan akademik perlu dijadikan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta mampu memimpin masyarakat dengan nilai akhlak dan jati diri yang baik pada masa hadapan.

“SPM merupakan titik penting dalam menentukan hala tuju kehidupan pelajar. Kejayaan yang dicapai hari ini perlu menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kecemerlangan pada peringkat lebih tinggi.

“Teruskan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu demi masa depan lebih cerah dan sebagai tanda membalas jasa ibu bapa yang sentiasa mengharapkan kejayaan anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, pelajar hari ini merupakan aset penting negeri dan negara yang bakal mencorakkan masa depan masyarakat, justeru mereka perlu terus mengekalkan disiplin, semangat belajar dan akhlak yang baik walau di mana berada.

Tambah beliau, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi juga keupayaan menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Saya berharap anak-anak Jerteh akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang sama ada akademik, profesional, keusahawanan mahupun kepimpinan, seterusnya kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru yang sabar mendidik dan ibu bapa yang banyak berkorban demi memastikan anak-anak memperoleh pendidikan terbaik.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan